KUCHING: Pemain industri perhotelan, inap desa dan pengusaha makanan serta pengangkutan di Sarawak bakal menerima limpahan ekonomi daripada penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata industri terbabit harus bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seramai 12,610 atlet dan pegawai yang akan berkampung di sembilan bahagian di negeri ini.

"Temasya sukan dwitahunan ini pasti akan menganjakkan lagi industri sampingan baiknya makanan yang menyediakan kenderaan, inap desa dan sebagainya," katanya dalam temu bual bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Jumaat.

Menurut UKAS, temu bual itu dibuat selepas beliau mengetuai delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 melakukan kunjungan hormat ke atas Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor pada Jumaat.

Abdul Karim berkata selain atlet dan pegawai, penyokong juga datang untuk memberikan sokongan sekali gus membantu mengembangkan industri ini dan acara-acara sukan di tempat pertandingan.

"Ini sekali gus akan meningkatkan ekonomi rakyat-rakyat tempatan terutama yang menyediakan gerai makanan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata kontinjen Sarawak enggan mendabik dada akan peluang mereka untuk mendominasi acara taekwondo dan terjun pada SUKMA XXI walaupun dua acara pilihan, pomsae berpasukan lelaki dan 10 meter platform seirama wanita dipertandingkan semula.

Kedua-dua acara tersebut yang asalnya digugurkan, dipertandingkan semula selepas keputusan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 30 April lepas.

Menurutnya, walaupun Sarawak ada kelebihan dalam dua acara tersebut namun peluang negeri-negeri lain khususnya Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak harus dipandang ringan.

"Kita tidak mahu terlalu memikirkan bahawa kita terlalu kuat dan terlalu yakin hingga akhirnya gagal untuk memenangi pingat emas," tegas beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor yang akan menghantar seramai 1,083 atlet dan pegawai untuk bertanding pada temasya kali ini.

-- BERNAMA